Pengalaman Rakyat Malaysia Berpuasa Di Beijing 17.5 Jam

beijing
Oleh Samantha Tan Chiew Ting

Untuk rakyat Malaysia beragama Islam di China,menyambut Ramadan di tanah besar itu benar-benar menguji keimanan mereka kerana terpaksa berpuasa hampir 17.5 jam berbanding 13.5 jam di tanah air.

Waktu berpuasa yang panjang adalah kerana tempoh imsak di Beijing adalahpada pukul 2.24 pagi.

Lagi pun, sekarang adalah musim panas di China dan suhu semakin meningkat, menjadikan keadaan tidak selesa juga untuk penduduk tempatan.

Suasana Ramadan tidak ketara di sini berbanding di tanah air kecuali di kawasan kejiranan orang Islam Niujie di Beijing.

Di kawasan itu, suasana Ramadan begitu menyerlah terutama apabila orang Islam keluar beramai-ramai untuk menyempurnakan solat Tarawih secara berjemaah di Masjid Niujie. Masjid ini adalah yang tertua dan terbesar di Beijing.

Bagaimanapun, jangan berharap untuk pergi ke Bazar Ramadan kerana tidak ada bazar seperti itu di Beijing dan tidak ada juga bufet Ramadan.

Meskipun saya bukan orang Islam tetapi saya dapat melihat perbezaan sambutan Ramadan di negara Tembok Besar China ini yang tidak semeriah di Malaysia.

Bagi rakyat Malaysia di ibu negara China ini termasuk pelajar Malaysia, semangat persaudaraan yang erat menjadikan sambutan Ramadan begitu bermakna.

Saya berkesempatan menemui sekumpulan pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian bahasa Mandarin di Beijing di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) untuk berkongsi pengalaman mereka memenuhi tuntutan satu daripada Rukun Islam yang lima.

Syahizzat Md Taib, 25, pelajar tahun tiga pengajian bahasa Mandarin di BFSU berkata Ramadan mengingatkan beliau kepada makanan yang amat disukainya iaitu ayam percik.

Tahun ini adalah tahun ketiga Syahizzat berpuasa di luar negara dan beliau terkenangkan suasana menyambut Ramadan di tanah air.

“Bukan sahaja waktu berpuasa yang panjang, susah juga hendak mencari makanan yang sudah siap dimasak untuk berbuka puasa. Ini membuatkan kami memasak sendiri makanan dan untuk sahur kami hanya makan roti,” Syahizzat memberitahu Bernama.

Cuasa yang panas dan kering juga ujian berat untuk Syahizzat terutamanya apabila sebahagian besar hari perlu berpuasa.

Khairunnisa Mat Nazen, 20, pelajar tahun satu di BFSU merindui juadah Ramadan yang biasa dimasak oleh ibunya.

“Saya tidak kisah sangat dengan waktu berpuasa yang panjang cuma saya rindu masakan emak saya. Inilah cabaran besar saya sepanjang Ramadan,” tambahnya.

Ketika saya berada dengan kumpulan pelajar ini, mereka cuba mewujudkan suasana Ramadan dengan menganjurkan bazar kecil siap dengan tema “Bazaar Kampung”.

Kira-kira 100 pelajar terlibat dalam menyediakan makanan tradisional seperti nasi lemak, bubur lambuk, murtabak, karipap, nasi hujan panas dan roti John.

Meskipun makanan yang dijual agak terhad tetapi pelajar-pelajar di BFSU dan Universiti Bahasa dan Kebudayaan Beijing (BLCU) berjaya mewujudkan suasana Ramadan yang sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan mereka kepada Ramadan di tanah air.

Ummi Hani Abd Razak, 21, pelajar tahun dua pengajian Mandarin di BFSU memilih untuk memasak bubur lambuk kerana bagi dirinya, makanan ini mesti ada semasa Ramadan.

“Bubur lambuk sinonim dengan Ramadan. Mesti ada. Di Malaysia, bubur lambuk biasanya dimasak secara gotong-royong dan kemudian diedarkan kepada orang ramai,” kata Ummi Hani.

Memandangkan beliau tidak mempunyai periuk besar dan tidak ada ruang besar untuk memasak kuantiti yang banyak, anak kelahiran Selangor ini hanya menyediakan 20 bungkus bubur lambuk untuk dijual di Bazar Kampung.

Enam pelajar pengajian Mandarin di BFSU bertungkus-lumus memasak nasi hujanpanas untuk dijual di bazar yang sama.

Meskipun itulah kali pertama mereka memasak juadah itu, ternyata ia mendapat sambutan ramai kerana berjaya menjual 40 pek nasi hujan panas dalam waktu yang
singkat.

Menurut Nurul Nadia Abd Razak, 20, nasi hujan panas yang berwarna-warni adalah menu popular di pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Ini kali pertama kami masak nasi hujan panas dan resipinya pun kami google sahaja. Mudah nak masak cuma perlu pastikan beras cukup airnya dan digaul dengan
betul,” katanya.

Sesungguhnya berpuasa di bulan Ramadan di luar negara satu pengalaman yang mencabar tetapi rakyat Malaysia begitu bersyukur dengan apa yang ada kerana apa yang penting mereka dapat menjalani ibadah puasa walau di mana mereka berada.
— BERNAMA/Gambar: Hiasan

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s