KOTA BHARU 22 Julai – Dua buah rumah kediaman Madrasah Diniah Bakriah atau lebih dikenali dengan Pondok Pasir Tumboh musnah dalam kebakaran di sini sebentar tadi iaitu kejadian kedua selepas asramanya terbakar pada bulan lalu.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku ketika penghuni di kediaman berkenaan berada di luar rumah tersebut.
Seorang saksi, Mek Esah Jusoh, 71, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di kawasan anjung rumahnya sebelum melihat api marak membakar pondok berkenaan.
“Saya kemudian terus memaklumkan perkara tersebut kepada jiran dan mereka kemudian menghubungi pihak bomba untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada 17 Jun lalu, sebuah bangunan dua tingkat asrama Madrasah Diniah Bakriah musnah dalam kebakaran ketika para pelajarnya baharu selesai menunaikan solat asar di Masjid Terusan Limbat yang terletak di kawasan berhampiran.
Pondok Pasir Tumboh yang ditubuhkan pada 1954 itu merupakan salah sebuah pusat pengajian Islam tradisional yang terbesar serta terkenal di negeri ini dan dihuni kira-kira 1,000 pelajar dari seluruh negara yang berusia antara 18 hingga 25 tahun. – UTUSAN ONLINE