Tabung Haji Bantu Permudah Akses Maklumat Jemaah Haji

MADINAH: Lembaga Tabung Haji (TH) membuat penambahbaikan dalam operasi teknologi maklumatnya dengan menyambungkan terus secara tepat masa segala data jemaah haji, terutama rekod perubatan mereka, ke Pusat Maklumat Operasi (PMO) di sini.
TabungHaji
Pengarah Operasi Teknologi Maklumat, Shahidan Ishak berkata, dengan cara itu segala maklumat dapat diakses dengan mudah, cepat dan tepat untuk mengetahui maklumat jemaah haji jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Beliau berkata, penambahbaikan itu dibuat berdasarkan kepada pengalaman beberapa keadaan yang berlaku pada musim haji tahun lalu, dan pada kali ini, maklumat secara tepat masa itu turut disambung ke PMO.

“Ini bermakna maklumat yang disimpan di maktab-maktab (penginapan jemaah haji) dan maklumat melalui klinik kesihatan terus disambungkan dari bahagian maklumat ke PMO bagi tujuan penyimpanan data setiap jemaah,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Hal Ehwal Jemaah Haji Malaysia di sini, hari ini.

Shahidan berkata, apabila berlaku sebarang insiden atau masalah mengesan jemaah, PMO akan dapat mengakses setiap data mereka seperti latar belakang keluarga dan rekod kesihatan serta dapat mengetahui kedudukan terakhir jemaah itu berada.

“Dengan cara ini juga keluarga di Malaysia akan mendapat maklumat terkini keadaan jemaah haji apabila sistem di Tanah Suci ini akan terus dapat diakses ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata, 20 petugas yang melibatkan pakar-pakar teknologi maklumat telah berada lebih awal di Tanah Suci untuk mengemas kini perkakasan teknologi yang akan digunakan para petugas haji nanti.

“Kami akan memastikan talian Internet berada dalam keadaan baik dan dapat dibekalkan di semua pejabat petugas, perkakasan komputer berada di tahap terbaik dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya pakar-pakar itu akan turut memastikan rangkaian sistem haji, data kewangan, maklumat dan perubatan berada di tahap terbaik.
Sementara itu Pengurus Terminal Madinah, Zahir Hussin berpuas hati segala persiapan yang diatur oleh kerajaan Arab Saudi bagi menyambut ketibaan para jemaah haji musim ini.

“Saya telah meninjau persiapan di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah dan semua berjalan dengan lancar untuk menyambut ketibaan jemaah dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau mengingatkan para jemaah haji Malaysia agar dokumen seperti pasport antarabangsa dan buku kesihatan mereka di simpan dengan baik demi kelancaran pelaksanaan ibadah haji mereka di sini.

“Simpan dokumen ini di dalam beg sandang dengan baik kerana dokumen ini akan diperiksa oleh pegawai kesihatan dan kelancaran di bahagian Imigresen ketika di lapangan terbang,” katanya.

Malam tadi, lebih 200 petugas TH mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin di sini bagi memohon kepada Allah SWT agar proses musim haji kali ini berjalan lancar. – BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s