ASTANA 16 Ogos – Pakar arkeologi Kazakhstan menemukan struktur piramid berusia lebih 3,000 tahun di sebuah kawasan terpencil di negara ini dan dikatakan menyerupai Piramid Djoser di Mesir.
Portal Mail Online melaporkan, piramid itu dipercayai dibina 1,000 tahun lebih awal berbanding piramid terkenal dunia tersebut dan ditemukan tahun lalu di daerah Shet, wilayah Karaganda, tengah Kazakhstan.
Ahli arkeologi, Viktor Novozhenov berkata, struktur piramid tersebut ditemukan pakar arkeologi dan saintis dari Institut Arkeologi Saryarkinsky di Karaganda.
Menurutnya, mereka akan memulakan kerja-kerja menggali dan meneroka ruang kawasan makam utama bagi membongkar misteri kewujudan piramid berkenaan dalam masa terdekat.
“Piramid ini dibina lebih 3,000 tahun lalu untuk seorang ‘firaun’ atau pemimpin puak tempatan. Kita akan menjalankan kerja-kerja menggali dan segala penemuan akan diserahkan kepada Karaganda State University untuk penyelidikan lanjut,” katanya.
Beliau memberitahu, tapak piramid itu dilaporkan mempunyai 27 struktur binaan dari zaman yang berbeza dengan susunan berbatu setinggi lima tingkat serta sebuah makam sepanjang hampir tujuh meter.
Terdahulu, imej mengenai beberapa artifak yang ditemukan di tapak piramid serta gambaran susun atur dan struktur asasnya itu telah dimuat naik di internet baru-baru ini.
Selain Mesir, struktur piramid juga ditemukan di beberapa negara lain termasuk Mexico dan China, tetapi penemuan baharu di Kazakhstan itu merupakan piramid yang hampir serupa dengan struktur di Mesir.
Piramid Djoser adalah struktur sejarah yang amat berharga dan ditemukan di tapak purba Saqqara serta dibina 2,700 sebelum Masihi untuk Firaun Djoser. – Agensi/Utusan