Pemimpin Datang dan Pergi – Dr Asyraf Wajdi

Oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki
asyraf abib
JAWATAN, pangkat dan kedudukan dalam sesuatu organisasi bukanlah wasilah untuk mengumpul harta kekayaan atau semata-mata untuk mendapat pengaruh. Hakikatnya, ia adalah amanah dan tanggungjawab berat yang perlu ditunaikan dengan baik.

Bahkan, semakin tinggi jawatan seseorang, semakin berat beban dan amanah yang dipikulnya. Inilah pegangan penulis dalam hal ini, sebagaimana kata-kata pepatah Arab yang masyhur: “Sesiapa yang bertambah kemasyhurannya, maka bertambahlah pula beban tanggungjawabnya”.

Oleh sebab itulah Rasulullah SAW telah mengingatkan bahawa jawatan dan pangkat itu tidak lebih dari amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, sebagaimana hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bermaksud: Daripada Abu Zar al-Ghifari, beliau berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, kenapa tidak engkau meletakkan aku di mana-mana jawatan?” Kemudian Baginda memukul bahuku dengan tangannya dan kemudiannya baginda bersabda: “Wahai

Abu Zar, sesungguhnya kamu adalah seorang yang lemah (dalam memegang memikul tugas dan jawatan). Sesungguhnya jawatan itu adalah amanah, dan sesungguhnya ia adalah menjadi punca kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan tuntutan jawatan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya itu”.

Dalam hal ini, teringat penulis kepada kata-kata Saidina Abu Bakar setelah dipilih menjadi Khalifah: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dilantik untuk memimpin kamu semua sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kamu.

Jika aku melakukan kebaikan, maka bantulah aku. Manakala jika aku melakukan keburukan, maka perbetulkanlah aku” .

Bahkan, jika diteliti dalam sejarah salafus soleh yang terdahulu, jawatan bukanlah sesuatu yang paling penting bagi mereka. Buktinya dapat dilihat dengan jelas dalam sejarah pejuang Islam terulung yang diberi gelaran Pedang ALLAH (saifullah) iaitu

Khalid al-Walid. Beliau dinaikkan pangkat menjadi panglima perang pada zaman Khalifah Abu Bakar dan terlibat memimpin banyak peperangan pada zaman tersebut seperti perang memerangi Musailamah al-Kazzab, perang Yarmuk, perang memerangi Rom Timur (Byzantine) dan empayar Parsi. Beliau turut menempa kejayaan dalam siri-siri peperangan di Syam hingga berjaya menawan Iraq.

Setelah Saidina Umar dilantik menjadi Khalifah, beliau memecat Khalid al-Walid dari jawatan tersebut dan menggantikannya dengan Abu ‘Ubaidah. Namun begitu, Khalid al-Walid tetap berjuang seperti biasa walaupun sebagai seorang tentera bawahan.

Malah beliau taat dan patuh kepada arahan Abu ‘Ubaidah sebagai panglima perang yang baharu dan arahan Saidina Umar al-Khattab sebagai Khalifah.

Namun, harus diingat, pemecatan jawatan tersebut bukanlah kerana Khalifah Umar al-Khattab cemburu dengan Khalid. Tetapi ia merupakan ijtihad daripada Saidina Umar yang tidak mahu penduduk Madinah terlalu mengagung-agungkan Khalid yang boleh membawa kepada fitnah hingga ke tahap ada yang berkata: “Jika Khalid menjadi panglima perang, pasti Islam akan menang”. Sedangkan kemenangan mutlak adalah semata-mata daripada bantuan ALLAH.

Namun, lihatlah bagaimana hormat dan yakinnya Khalid terhadap kepimpinan Khalifah Umar al-Khattab walaupun dalam keadaan beliau dilucutkan jawatan, kerana Khalid amat memahami bahawa tindakan Saidina Umar al-Khattab RA adalah demi untuk mengelakkan fitnah. Perkara ini disebut dalam kitab al-Kamil Fi at-Tarikh karangan Ibnu Athir, yang menjelaskan bahawa sewaktu Khalid dipecat dari jawatannya, seorang lelaki berkata: “Sabarlah wahai ketua, ia adalah waktu untuk bermulanya fitnah”.

Khalid membalas: “Selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu tiada ruang fitnah untuk berlaku”. Demikian perjuangan Khalid al-Walid yang berjuang bukan kerana mengejar pangkat dan kedudukan.

Mengambil semangat dan iktibar dari pelbagai sejarah silam ini, marilah kita sedari bahawa hakikatnya pemimpin boleh datang dan pergi. Namun, kesetiaan kepada idealisme perjuangan perlu dikekalkan. Selaras dengan tuntutan agama yang menyuruh kita untuk tetap taat kepada pemimpin, biar siapa pun dia selagi mana kita tidak disuruh melakukan maksiat dan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat.

Hal ini kerana faktor kemenangan dan kejayaan bukan semata-mata terletak dan tergantung hanya kepada pemimpin. Sabda Rasulullah SAW: “Dengarlah dan taatlah (kepada pemimpin), walaupun kamu dipimpin oleh seorang hamba Habsyi (yang berkulit hitam), seolah-olah kepalanya anggur kering (kismis)”. Hadith sahih riwayat Bukhari.

Justeru, perpecahan dan perselisihan yang berpunca daripada hilangnya wala’ kepada pemimpin perlulah dijauhi kerana ia hanya menambahkan lagi perpecahan dan perselisihan umat Islam yang sedia ada.

Artikel Dr Asyraf Wajdi ini tersiar di Sinar Harian, 24 Ogos 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s