Institusi Pengajian Pondok Benteng Akidah Ahli Sunnah – Dr Asyraf Wajdi

Oleh : Dr Asyraf Wajdi Dusuki

asyraf

 

Pondok merupakan institusi pengajian Islam tradisional dalam masyarakat Melayu yang berkembang pada awal abad ke-19, merentasi abad ke-20 sehingga memasuki abad ke-21.

Hakikatnya sistem inilah yang mula mengembangkan Islam dalam masyarakat Melayu berteraskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermanhajkan Asya’irah.
Sejarah perkembangan institusi pondok di Malaysia berpusat di Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Konsep pengajian pondok adalah ringkas. Kuliah lazimnya dijalankan di masjid dan madrasah.

Penampilan para pelajarnya juga amat sederhana, cukup sekadar mengenakan baju Melayu, kain pelikat dan serban putih di kepala.
Kurikulum pengajiannya pula meliputi bidang tauhid, fiqah, Bahasa Arab, hadis dan tasawuf.

Metode pengajarannya juga mudah iaitu pelajar-pelajar hanya duduk bersila menghadap atau melingkungi Tok Guru. Berbekalkan naskhah teks klasik di tangan, para pelajar dan mencatat syarahan yang disampaikan Tok Guru. Syarahan hanya berkisar kepada huraian butiran isi kandungan dalam naskhah teks klasik samada yang berbahasa Melayu Jawi mahupun teks klasik berbahasa Arab.

Tok Guru Pondok ialah kalangan yang mendapat pendidikan tidak formal secara menadah kitab di Timur Tengah seperti Mekah dan Yaman bahkan mereka turut berkelana mencari ilmu di Selatan Thailand dan Indonesia. Kepulangan mereka ke Kelantan, Terengganu dan Kedah kemudiannya membuka pusat-pusat pengajian pondok yang aktif menyampaikan ilmu Islam kepada masyarakat sekitar.

pondok-dulu

Secara peribadi, penulis sendiri mempunyai nilai sentimental dengan tradisi pengajian pondok kerana moyang dan datuk merupakan Tok Guru Pondok di Kelantan. Moyang dari sebelah nenek penulis ialah Tok Guru Haji Abdul Rahman bin Uthman atau lebih dikenali dengan nama Tok Selehor bersempena nama kampung Selehor dalam daerah Tumpat. Ketika zaman perkembangannya, pondok Selehor yang terletak di tebing Sungai, hanya boleh dihubungi dengan menaiki sampan ke Kampung Laut atau Palekbang dan kemudiannya perlu berjalan kaki sejauh lima kilometer sebelum sampai ke destinasi.

Manakala datuk kepada ayah penulis pula ialah Tok Guru Haji Ahmad bin Haji Ismail atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Ahmad Batu Tiga. Arwah datuk mengasaskan sebuah pondok di Kampung Repek pada sekitar 1920-an di atas sebidang tanah seluas lima ekar. Pondok tersebut merupakan yang tertua dalam daerah Pasir Mas. Sebagai seorang Tok Guru, arwah datuk penulis membina rumah yang bersambung dengan madrasah bagi memudahkan beliau berulang alik menyampaikan syarahan kepada para muridnya.

Para Ulama dan Tok Guru menghabiskan masa muda mereka di perantauan dengan menuntut ilmu. Apabila pulang mereka berkorban segalanya membuka pusat pengajian pondok bagi memastikan umat Islam terus berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, bermazhab fiqah Imam Syafie, dan mempunyai tasawuf serta akhlak sebaik Imam al-Ghazali.

Malah, apa yang dilakukan mereka merupakan satu ikutan daripada amalan para ulama besar Islam terdahulu yang turut melalui sistem pengajian tradisi sehingga mereka menguasai keseluruhan cabang ilmu Islam. Nama-nama seperti al-Bukhari, Muslim, al-Ghazali, al-Suyuti dan Ibn Kathir ialah kalangan yang mendambakan kehidupan mereka kepada ilmu dan menyampaikannya kepada masyarakat.

Institusi pengajian pondok juga adalah tempat yang menyemai semangat toleransi Islam dalam masyarakat. Manhaj akidah ahli sunnah wal jamaah yang diajarkan menjadi pemangkin kepada nilai wasatiyyah atau kesederhanaan yang tidak terjerumus antara lembah yang ekstrem seperti yang dibawa oleh fahaman Daesh atau ISIS dalam memahami konsep jihad dengan fahaman liberal yang mempermudahkan asas-asas agama.

Inilah teras akidah wasatiyyah yang dibawa institusi pengajian pondok dan yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia hari ini. Dalam konteks ini, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Akan membawa (dan mewarisi) ilmu ini dari setiap generasi mereka yang benar-benar berwibawa. Mereka menolak dari ilmu itu penyelewangan orang-orang yang melampau, dakwaan orang-orang yang menyesatkan, dan tafsiran orang-orang yang jahil”. Hadith sahih riwayat at-Tabrani dan al-Baihaqi.

Namun, realiti hari ini menunjukkan pusat-pusat pengajian pondok semakin dilupakan, ketiadaan Tok-Tok Guru muda yang meneruskan dan kekurangan pelajar yang ingin berkelana menuntut ilmu. Justeru, telah tiba masanya institusi pengajian pondok diperkasakan sesuai dengan arus pemodenan semasa. Pihak kerajaan juga dengan jelas mahukan institusi ini terus wujud bukan hanya sebagai sebagai benteng ketahanan akidah umat Islam bahkan sebagai warisan peradaban negara.

Proses permerkasaan institusi pondok memerlukan satu rangka pembangunan yang komprehensif. Setiap nilai kekuatan yang ada pada institusi pondok perlu ditonjolkan, setiap kelemahan yang wujud perlu diperbetulkan malahan kekuatan yang ada sebenarnya mampu memberi nilai tambah dan kekuatan kepada sistem dan kurikulum pengajian Islam moden. Ini selaras dengan isyarat yang diberikan oleh Allah S.W.T dalam surah Muhammad, ayat 7 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”.

Kita mengharapkan agar para alumni yang dilahirkan dari institusi pondok dapat menempatkan diri mereka untuk bersama-sama menyumbang dalam pembangunan dan kemajuan Islam di Malaysia. Para alumni institusi pondok tidak boleh tercicir dalam proses ini.

Mereka mempunyai kekuatan dan kebolehan tersendiri yang dapat meneroka khazanah tradisi pengajian Islam klasik hasil karya ulama silam dengan baik. Kekuatan ini sangat diperlukan dalam usaha berterusan untuk membina tamadun dan peradaban Islam di Malaysia yang berteraskan nilai dan citra warisan kita. – Dr Grup Whatsapp/Sinar

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s