Haron Din model politik dakwah

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
haron
BERITA duka kembalinya Allahyarham Datuk Dr Haron Din ke rahmatullah pada pagi Jumaat yang lepas begitu dirasai oleh seluruh pelosok umat di dalam negara mahupun tokoh-tokoh dari luar negara.

Pemergian beliau pada usia 76 tahun merupakan satu kehilangan besar buat ummah dan negara. Ketokohan, keperibadian, dan perwatakan Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haron Din dalam pelbagai aspek amat menyerlah dan tidak dapat disangkal lagi.

Sepanjang penulis mengenali beliau, apa yang penulis dapat katakan, beliau merupakan seorang model politik dakwah yang berjiwa besar di negara ini.

Bahkan sewaktu bidang kewangan Islam mula berkembang di Malaysia suatu ketika dahulu, beliaulah antara agamawan yang mula-mula merintis dan terlibat sebagai penasihat syariah di pelbagai sektor kewangan dan perbankan Islam ketika itu.

Walaupun dalam bidang politik, beliau memilih Pas sebagai medium perjuangan, namun tidak pernah beliau menghina, mencaci dan memburukkan parti lawan.

Kata-kata beliau cukup lembut, tidak meninggikan suara, penuh dengan nasihat dan peringatan berguna, jauh dari menyakiti hati pihak lawan walaupun beliau tegas berpendirian dalam menegakkan prinsip yang dipegang.

Inilah keperibadian dan ketokohan seorang agamawan yang sebati dengan nilai-nilai akhlak yang tinggi dan wajar dicontohi.

Perwatakan Tuan Guru Haron Din dalam hidupnya yang sentiasa mendahulukan ukhuwah Islamiah menyebabkan beliau mempunyai ramai sahabat karib sekalipun berbeza ideologi politik. Sebab itulah beliau disanjungi, disegani, disenangi dan mudah didekati oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk pimpinan parti politik lawan.

Malah, persahabatan beliau dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri terus utuh walaupun berbeza parti politik atas dasar saling menyedari kelebihan, kebersamaan yang menjadi kunci jalinan persahabatan dengan meletakkan apa sahaja yang menjadi penghalang di belakang.

Pernah suatu ketika, Datuk Seri Najib sendiri menyatakan beliau turut kagum dan menyenangi peribadi serta akhlak yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Haron Din.

Beliau juga bukanlah seorang ahli politik yang hanya mementingkan keuntungan duniawi dan kuasa politik. Walaupun kalah bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Perlis, beliau tetap utuh dengan prinsip dan pegangan beliau terhadap parti lawan.

Seolah-olah bagi beliau, setiap orang Islam, tidak mengira dari parti mana sekalipun adalah Muslim yang bersaudara dan perlu diberikan nasihat, apatah lagi dilihat sebagai musuh.

Tuan Guru Haron Din membawa pendekatan sebagai seorang pendakwah yang melebihi pendekatan sebagai politikus biasa kerana beliau menzahirkan ciri-ciri seorang pendakwah yang tidak mudah menjatuhkan hukum, tidak mudah melabel dan memaki hamun, sentiasa berlapang dada dalam menerima pandangan yang berbeza, serta meraikan kepelbagaian aliran pemikiran.

Inilah contoh pendakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW, sebagaimana hadis sahih riwayat Bukhari: “Nabi SAW tidak pernah memaki hamun, berkata keji, dan bukanlah seorang yang suka melaknat”.

Hakikatnya, inilah contoh jiwa besar dan keterbukaan yang dibawa oleh Tuan Guru Haron Din merentasi ideologi dan fahaman politik sempit sebagaimana yang disarankan oleh Junjungan Nabi Muhammad SAW yang diutuskan sebagai rahmat ke seluruh alam.

Moga-moga ALLAH memberi keampunan-Nya kepada Allahyarham Tuan Guru Haron Din dan merahmati pemergian beliau sebagai seorang yang banyak berjasa dalam menjadi ikon dan model kepada masyarakat, dakwah, politik, bahkan kepada negara.

*Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Tulisan ini tersiar di Sinar Harian, 21 September 2016

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s