Iltizam MAIWP Jejaki Asnaf

Sesuai dengan cogan kata, Menyelusuri Segenap Pelosok Mencari Asnaf, Skuad Jejak Asnaf Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melaksanakan pelbagai kaedah bagi menjejaki golongan kurang bernasib baik.

Cara terbaharu adalah dengan memaparkan nombor talian untuk menghubungi MAIWP pada pengangkutan awam di sekitar Wilayah Persekutuan bagi membolehkan mereka yang dalam kesusahan mendapatkan bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Zainal Abidin Jaffar berkata, talian bebas tol 1-800-88-5222 dan talian hotline 012-5183 614 atau 012-5127 614 yang dipaparkan pada 15 buah bas RapidKL di Kuala Lumpur dan 10 buah bas Nadi Putra di Putrajaya boleh dihubungi orang ramai 24 jam setiap hari.

Selain itu, MAIWP turut memaparkan nombor talian bebas tol dan hotline itu pada 300 buah teksi di sekitar ibu kota. Lebih menarik, pemandu teksi itu juga merupakan penerima bantuan deposit teksi MAIWP.

“Sebelum ini antara cara hebahan yang dibuat adalah melantik seorang ketua blok di setiap kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang akan mencari golongan asnaf seperti ibu tunggal,” katanya.

Sejak memaparkan hebahan itu, pada awal tahun ini sehingga Julai lalu, talian bebas tol dan hotline skuad jejak asnaf menerima 2,506 panggilan daripada orang awam yang melaporkan golongan asnaf yang tercicir daripada pengetahuan MAIWP.

Cari asnaf

Zainal menunjukkan kebanyakan bas yang memaparkan nombor talian itu masuk ke kawasan hot spot asnaf seperti golongan gelandangan di Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

bas-maiwp
SALAH satu contoh iklan MAIWP menjejaki asnaf.

Beliau berkata, hasil panggilan yang diterima Skuad Jejak Asnaf Baitulmal, MAIWP telah menyantuni 3,112 orang yang memerlukan bantuan sama ada bantuan segera seperti kewangan atau tempat tinggal serta bantuan lanjutan seperti bantuan zakat bulanan.

“Seramai 80 anggota skuad jejak asnaf bekerja tiga shif bagi tempoh 24 jam setiap hari bagi menjaga talian hotline dan bebas tol. Sebaik menerima panggilan orang awam dan mendapatkan maklumat terperinci, skuad ini akan segera mencari asnaf itu.

“Kalau sempat malam itu juga kita cari (asnaf). Kalau dia (asnaf) tidak ada rumah, malam itu juga kita bawa ke rumah transit Baitulmal MAIWP yang terletak di Sentul,” katanya.

MAIWP mengagihkan pemberian zakat secara langsung melalui 28 skim bantuan zakat yang berjalan sepanjang tahun seperti bantuan keperluan asas, perumahan dan pendidikan. Sebanyak 60,755 asnaf menerima skim bantuan ini dari Jun hingga Julai lalu.
maiwp-asnaf
Pada tahun 2015, MAIWP mengagihkan zakat terus kepada 211,942 penerima.

Selain itu, agihan zakat turut dibuat secara tidak langsung melalui penubuhan institusi pendidikan dan perlindungan seperti Institut Kemahiran Baitulmal, Sekolah Menengah Agama MAIWP dan institusi perlindungan Darul Kifayah.

Bagi Zainal, segala usaha yang dilakukan itu membayangkan komitment MAIWP dalam menunaikan tanggungjawab menguruskan agihan zakat.

“Baru-baru ini MAIWP mendapat sijil bersih tanpa teguran daripada Jabatan Audit Negara bagi Pengauditan Terhadap Penyata Kewangan MAIWP Bagi Tahun Berakhir 2015. Ia merupakan pencapaian MAIWP selama sepuluh tahun berturut-turut. Ini membuktikan MAIWP memang telus dalam mengagihkan zakat,” katanya.
maiwp-asnaf1
Sementara itu, seorang penerima zakat kewangan bulanan MAIWP, Basri Husin, 34, berkata, bantuan yang diterima membantu dirinya yang lumpuh separuh badan untuk meneruskan kehidupan.

Basri yang mengalami kecederaan saraf tunjang pada November 2014 memberitahu, dia mengetahui maklumat berkenaan zakat MAIWP daripada seorang jururawat ketika dimasukkan ke hospital.

“Pada waktu itu saya buntu. Saya tertekan dari segi kewangan dan emosi. Apatah lagi mengenangkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Malaya terpaksa ditangguhkan,” kata bapa kepada dua anak itu.

Selain menerima bantuan kewangan berjumlah RM500 sebulan, Basri turut menerima bantuan katil khas dan bantuan keperluan harian seperti lampin dan tisu daripada MAIWP.

Mengulas mengenai pendekatan MAIWP memapar hebahan melalui pengangkutan awam, Basri menjelaskan, ia merupakan langkah bijak memandangkan terdapat golongan asnaf yang masih tidak mengetahui cara memohon bantuan zakat MAIWP. – Bernama

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s