Hukum Membunuh Diri Haram Dalam Quran dan Hadis

mufti wilayah
Mukaddimah

Mutakhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai insiden sama ada dalam atau luar negara yang terkadang-kadang membabitkan harta benda dan jiwa raga. Antara yang berlaku di negara kita seperti membunuh diri dengan berjustifikasikan seperti menghadapi kemelut dan tribulasi kehidupan. Begitu juga meninggalkan nota kepada khalayak kenapa perbuatan tersebut dilakukan sehingga membawa kematian. Fenomena seperti ini perlu ditelaah dan ditekuni dengan lebih terperinci dari semua aspek, sama ada peribadi seseorang, gaya kehidupan, ekonomi, sosio budaya, faktor keluarga, dan pelbagai bentuk yang lain. Ini semua boleh menyumbangkan ke arah stress yang melampau. Justeru dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami kemukakan isu berkaitan dengan tajuk Tekanan Hidup Yang Membawa Bunuh Diri: Hukum dan Penyelesaiannya. semoga Allah tetapkan hati kita dan sentiasa memandu kita ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Amiin.

Takrif Bunuh Diri

Mengikut Kamus Dewan Bahawa ialah mengambil nyawa sendiri dgn sengaja.

Untuk itu banyak cara yang dilakukan oleh orang ingin membunuh diri sendiri seperti menembak diri sendiri, terjun daripada tempat yang tinggi, menggantungkan diri sendiri, meminum racun dan pelbagai bentuk lagi. Semoga Allah selamatkan kita daripada bercita-cita untuk membunuh diri sebaliknya Allah memberi kekuatan kepada kita untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan agar kita dipahalakan dalam mizan hasanah kita pada hari akhirat kelak. Amiin.

Faktor Yang Membawa Kepada Bunuh Diri

Isu bunuh diri bukan hanya berlaku di negara yang mundur atau membangun tetapi di negara yang hebat juga berlaku.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), gejala bunuh diri adalah punca kematian yang ketiga tertinggi dalam kalangan remaja. Ia dijangka meningkat jika tidak dibendung awal.

Negara seperti Jepun turut mengalami fenomena ini terutama kalangan remaja mereka. Malah, tidak mustahil akan berlaku di Malaysia dan sudah pun ada tetapi masih kecil bilangannya.

Di negara yang mundur pula bunuh diri biasannya disebabkan tekanan hidup kerana merasakan tiada lagi harapan untuk hidup dengan baik dan membawa kepada putus asa.

Adakah amalan agama yang cetek yang mendorong orang Islam terjebak dalam gejala bunuh diri ini?

Kebanyakan masyarakat daripada budaya dan agama mana pun suka kepada kehidupan mereka, rasa gembira sepanjang masa dan gemar membina jaringan sosial. Mereka mempunyai fikiran positif mengenai perkembangan dan masa depan.

Dalam kepantasan perubahan ini sesetengahnya dapat menyesuaikan diri dan mengalami suasana yang menggembira dan menyeronokkan.

Namun, ada yang tidak berkongsi keseronokan proses kehidupan dan berhadapan dengan penuh ketegangan, kesunyian dan kesedihan.

Antara penyebab dan penyumbang kepada ingin membunuh diri ialah:

Mereka datang daripada keluarga yang porak peranda, mempunyai masalah kemiskinan, tempat tinggal yang kurang memuaskan dan juga kelemahan personaliti kendiri.

Mereka juga mengalami pengalaman dalam putus percintaan. Dalam kesedihan yang melampau ini, sangat perlukan kekuatan dan kemahiran menangani merupakan salah satu keperluan dalaman.

Akibat keluarga yang amat banyak masalah sehingga kehidupan tidak tenteram dan masng-masing tidak bertanggungjawab sama ada ibu bapa dan adik beradik.
Sebahagian ibu bapa tidak mempunyai skil kemahiran keibubapaan, komunikasi, akhlak dan adab Islami yang baik. Hubungan keluarga yang bercirikan kemarahan, sindir-menyindir, kata-mengata, tidak stabil emosi dan ketidakterimaan juga boleh menyebabkan perangai danm akhlak mereka akan rosak.

Pencapaian akademik dan keputusan yang baik serta kegagalan dalam mencapai keputusan yang diharapkan boleh membawa tekanan kepada pelajar sehingga membunuh diri terutamanya jika stress yang melampau.

Akibat ketakutan seperti kepada along atau seseorang yang mengancam juga menyumbang ke arah cubaan membunuh diri.

Pandangan worldview Kesan daripada bunuh diri berkluster kadang-kadang membuatkan mereka meniru-meniru gejala ini seperti melihat di Internet atau filem yang merasionalkan tindakan dan keputusan ini.

Atau setengah kefahaman global seperti peperangan, keganasan, ancaman penyakit, jenayah dan kebuluran yang menimpa dunia boleh memberi kesan kepada pemikiran remaja dan dengan tidak dapat mengawal perasaan, kesedihan, kebencian maka kadang-kadang mereka mengambil keputusan sendiri dengan menamatkan riwayat mereka.

Haram Membunuh Diri

Kami mulakan dengan firman Allab SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

(Surah al-Baqarah: 195)

Maknanya ialah janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu.

Syeikh Abdurrahman bin Nasir bin Abdullah al-Sa’adi dalam tafsirnya iaitu tafsir Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Manan menyebut: “Sesiapa yang menjatuhkan dirinya kepada kebinasaan dengan melakukan maksiat kepada Allah dan juga berputus asa daripada taubat kepada Allah.”

Imam al-Suyuti berkata dalam tafsirnya: “Maksudnya dirimu. Sedangkan ba (huruf jar iaitu ba) sebagai tambahan (ke dalam kebinasaan) atau kecelakaan disebabkan meninggalkan atau mengeluarkan untuk berjihad yang akan menyebabkan menjadi lebih kuatnya pihak musuh daripada kamu.”

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).

(Surah al-Isra’: 33)

Ayat ini menunjukkan haram membunuh jiwa termasuk diri sendiri kerana umumnya.

Bunuh diri adalah dosa besar, kerana adanya ancaman khusus baginya, sebagaimana sabdanya:

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.”

Riwayat al-Bukhari (6047) dan Muslim (110)

Al-Imam al Nawawi rahimahullah berkata, “Al Qadhi Iyadh mengatakan, menurut pendapat para ulama, setiap jenazah muslim sama ada meninggal kerana suatu hukuman, direjam, bunuh diri dan anak zina tetap disolatkan.

Daripada Jundub RA, Nabi SAW bersabda:

كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ ‏

Maksudnya: “Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.”

Riwayat al-Bukhari (3463)

Hadis ini menunjukkan pembunuh diri tidak dimasukkan ke dalam syurga adalah sebagai ancaman yang amat keras.

Ini berdasar sabda Nabi SAW:

منْ قَتَلَ نَفْسَهُ بحَديدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِى يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِى بَطْنه فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ تَردَّى مِنْ جبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِى نَارِ جَهَنّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.”

Riwayat Muslim (109)

Al Qadhi Iyadh meletakkan hadis ini dalam Syarah Sahih Muslim di bawah bab “larangan membunuh diri sendiri, sesungguhnya sesiapa yang membunuh dirinya sendiri dengan sesuatu, dia akan diazab dengan sesuatu tersebut dalam neraka dan dia tidak akan memasuki syurga kecuali dirinya muslim”.

Al Qadhi Iyadh menyebut bahawa orang yang membunuh diri akan memasuki neraka dalam tempoh yang panjang akan tetapi bukannya kekal di dalam neraka selama-lamanya.

Imam al-Syatibi menyatakan bahawa semua ajaran yang ditetapkan oleh Islam adalah untuk menjaga kemaslahatan yang lima. Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas bahawa bunuh diri merupakan perbuatan yang dilarang dan bertentangan dengan perintah agama. Kerana besarnya dosa akibat perbuatan tersebut maka tempat kembali orang yang melakukannya adalah neraka jahanam.

Berdasarkan nas di atas dan juga pendapat ulama jelas menunjukkan kepada kita bahawa membunuh diri adalah haram dan termasuk dalam dosa besar. Sehingga ramai ulama memasukkan dalam kitab masing-masing berkenaan dengan dosa besar salah satunya ialah membunuh diri.

Pendapat Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi

Kami nukilkan di sini daripada kitab al-Halal wa al-Haram (541-543) berkenaan dengan isu membunuh diri:

Semua yang disebutkan tentang jenayah pembunuhan meliputi pembunuhan manusia terhadap dirinya sendiri, sebagaimana meliputi pembunuhan terhadap orang lain. Sesiapa yang membunuh dirinya sendiri dengan apa jua cara sekalipun, samalah dia telah membunuh diri yang diharamkan oleh Allah SWT membunuhnya tanpa sebarang hak.

Kehidupan manusia itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun kerana dia tidak menciptakan dirinya sendiri, begitu juga dengan anggota dari anggota tubuh badannya atau sebarang sel-sel yang terdapat di dalam tubuh manusia. Oleh yang demikian, diri seseorang manusia itu merupakan barang amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap manusia untuk dipelihara. Oleh itu, manusia tidak boleh mensia-siakan amanah itu atau bertindak sesuka hati kepada dirinya.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa Mengasihani kamu.

(Surah al-Nisa’: 29)

Islam menghendaki agar semua umatnya itu mempunyai kekuatan fizikalnya dan kuat keazamannya dalam menghadapi segala bentuk kesusahan. Islam tidak membenarkan seseorang Muslim melarikan dirinya daripada kehidupan dan menanggalkan pakaiannya disebabkan bencana yang menimpanya, ataupun kerana ada cita-cita yang tidak kesampaian kerana orang mukmin itu diciptakan oleh Allah SWT untuk berjihad dan bukannya untuk hidup dan duduk bersenang-lenang. Manusia itu dijadikan untuk berjuang, dan bukannya untuk mengundurkan diri dari medan pertempuran. Justeru, keimanan, tingkah laku dan peribadinya tidak membenarkannya untuk melarikan diri daripada medan pertempuran hidup, sedang seseorang itu telah dilengkapkan dengan senjata yang tidak pernah tumpul dan kekuatan yang tidak pernah luntur, iaitu senjata keimanan yang teguh dan kukuh.

Nabi SAW melarang orang yang berani melakukan jenayah yang kejam ini, iaitu jenayah membunuh diri dengan ancaman akan terhalangnya dari rahmat Allah SWT untuk menjadi penghuni syurga-Nya, malah dia akan menerima kemurkaan Allah SWT dengan dimasukkannya ke dalam neraka.

Rasulullah SAW bersabda:

كَانَ فِيمَنْ قَبْلِكُم ْرَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ فَجَزَعَ، فَأَخَذَ سِكِّيْنًا، فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، فَقَالَ اللهُ: بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، فَحَرَّمْتُ عَلَيهِ الجَنَّةَ

Maksudnya: “Mereka yang sebelum kamu, ada seorang lelaki yang mengalami luka dan tidak tahan untuk menanggung deritanya, kemudian diambilnya pisau, lalu menorehkan ke urat nadi tangannya sehingga darah keluar dan tidak berhenti mengalir sehinggalah menemui ajalnya. Allah SWT berfirman: Hamba-Ku telah mendahului-Ku dengan (membunuh) dirinya, oleh itu Aku mengharamkan baginya memasuki syurga.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Jika sekiranya orang ini diharamkan kepadanya untuk memasuki syurga kerana luka yang tidak sanggup ditanggungnya, lalu dia membunuh dirinya, apatah lagi dengan orang yang membunuh dirinya kerana sebab menanggung kerugian dalam perniagaan, sama ada sedikit mahupun banyak, atau kerana gagal di dalam sebarang ujian yang menimpa, atau kerana mengalami putus cinta.

Justeru, kita hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dan sentiasa beringat serta mengambil peringatan bagi orang-orang yang lemah keazamannya tentang ancaman yang didedahkan oleh Nabi SAW dalam sabdanya sebagai suatu ancaman yang harus digeruni bagaikan ditimpa panahan kilat dan dentuman guruh yang sabung menyabung.

Nabi SAW bersabda:

مَن تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفَسَهُ، فَهُوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ يَتَرَدَّى فِيهَا خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَحَسَّى سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلِّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنَ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ، فَحَدِيدَتِهِ فِي يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلِّدًا فِيهَا أَبَدًا

Maksudnya: “Sesiapa yang terjun sendiri dari atas gunung, lalu terbunuh, maka dia akan tinggal di dalam neraka Jahannam, sambil terus menerus menerjunkan dirinya sendiri ke dalam neraka Jahannam itu kekal buat selama-lamanya. Sesiapa yang makan racun, kemudian terbunuh, maka racun itu akan berada di tangannya dan dimakannya secara terus menerus di dalam neraka Jahannam buat selama-lamanya. Dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan alat yang tajam, maka alat itu akan berada di tangannya serta sentiasa ditusuk-tusukkan pada tubuhnya di dalam neraka Jahannam dan kekal di dalamnya buat selama-lamanya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Pendapat Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi Terhadap Bu Azizi Yang Membakar Dirinya Sehingga Mati

Kami sengaja nukilkan kisah ini kerana ia bersifat realiti yang berlaku beberapa tahun lalu sehingga banyak memberi kesan kepada Negara tersebut iaitu Tunisia dan Arab keseluruhannya, sehingga sekarang.

Syeikh al-Qaradhawi dalam keterangan ketika menemui stesen TV al-Jazeera.net berkata: “Bahawanya beliau tidak menulis iaitu tidak memberikan apa-apa fatwa berkaitan hukum bunuh diri yang dilakukan oleh Bu Azizi, akan tetapi sudah memadai dengan memberi sedikit komentar kepada terhadap isu tersebut dalam rancangan al-Syariah wa al-Hayah.”

Beliau berkata: “Sesungguhnya aku memohon kepada Allah SWT, dan berdoa dengan sepenuh hati supaya Allah memaafkan dan mengampunkan pemuda tersebut, dan dia telah melebihi dalam perbuatannya tersebut yang berlawanan dengan syara’, dan syara’ melarang daripada membunuh diri.”

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan dengan satu kaedah syara’ yang penting, iaitu:

أَنَّ الْحُكْمَ بَعْدَ الْاِبْتِلَاءِ بِالْفِعْلِ غَيْرَ الْحُكْمِ قَبْلُ الْاِبْتِلَاءِ بِهِ

“Bahawasanya sesuatu hukum itu adalah selepas ujian dengan perbuatan bukan hukum sebelum ujian dengannya.”

Beliau menjelaskan bahawasanya sebelum berlakunya ujian dengan perbuatan (seperti ingin bunuh diri) hendaklah dikeraskan hukuman tersebut dengan ancaman sehingga dapat menghalang daripada terjadinya perbuatan tersebut, adapun selepas berlakunya ujian tersebut (sudah membunuh diri), maka di sini kita cuba meringankan semungkinnya dalam hal yang sedemikian.

Berdasarkan keadaan tersebut, Syeikh Qaradhawi menyeru pemuda-pemuda arab dan muslim yang mahu membakar diri mereka yang kecewa dan marah dengan keadaan mereka hendaklah memelihara kehidupan mereka untuk hidup, kerana ianya merupakan nikmah Allah yang wajib untuk disyukuri.

Hukum Solat Jenazah Bunuh Diri

Kami mulakan dengan sebuah hadis Nabi SAW:

Diriwayatkan daripada Samurah RA, yang berkata:

أَنَّ رَجُلا قَتَلَ نَفْسَهُ بِمَشَاقِصَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَمَّا أَنَا فَلا أُصَلِّي عَلَيْه

Maksudnya: “Terdapat seorang lelaki yang membunuh diri dengan mata anak panah, maka Rasulullah SAW bersabda: “Adapun aku, maka aku tidak solatkan dia.”

Riwayat al-Nasaie (1963). Hadis sahih

Rasulullah SAW membiarkan para sahabat yang melakukan solat jenazah untuknya. Rasulullah SAW enggan melakukannya sebagai hukuman terhadap kemaksiatannya dan sebagai pelajaran bagi orang lain atas perbuatannya.

Imam Malik bin Anas dan selainnya berpendapat bahawa pemimpin negara sebaiknya tidak solat jenazah orang seperti itu. Ini sebagai satu ancaman dan ingatan kepada pelaku yang ingin membunuh diri supaya jangan melakukan seperti itu.

Jangan Bercita-cita Mati

Terkadang-kadang dengan sebab tekanan hidup yang melampau dan stress menyebabkan seseorang hilang punca dalam melayari bahtera kehidupan. Mereka merasakan dengan jalan pintas membunuh diri akan menjadi penyelesaian dalam menempuh kemelut kehidupan. Sedangkan di sana bala dan dosa yang besar menanti, kerana para ulama bersepakat menyebut bahawa membunuh diri hukumnya haram.

Dalam Islam bukan membunuh diri sahaja haram tetapi bercita-cita untuk mati kerana bala yang dihadapi juga tidak dibenarkan.

Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ المَوْتَ مِنْ ضُرٍّ أَصَابَهُ، فَإِنْ كَانَ لاَ بُدَّ فَاعِلًا، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Maksudnya: “Janganlah mengharapkan kematian kerana tertimpa musibah duniawi, jika terpaksa, maka hendaklah ia mengucapkan: ‘Ya Allah panjangkan hidupku, jika kehidupan itu lebih baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku’!”

Riwayat al-Bukhari, no. 5671, dan al-Nasa’i, no. 1820.

Hadis ini menunjukkan bahawa orang Islam hendaklah bersifat sanggup menghadapi sebarang cabaran walau sesukar mana kehidupan. Begitu juga jika terpaksa maka berdoalah kepada Allah seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam hadis di atas.

Para ulama membezakan antara mengharapkan kematian kerana fitnah (cubaan) duniawi, dengan mengharapkan kematian kerana fitnah ukhrawi (agama). Yang pertama hukumnya makruh, yang kedua hukumnya boleh (Lihat Syarh Muslim, hadis no. 2680, karya Imam al-Nawawi). Rasulullah SAW dalam sebuah doanya, mengatakan: “Jika Engkau berkehendak memberikan fitnah (cubaan dalam agama) kepada hambamu, maka cabutlah (nyawa)ku dalam keadaan tidak tertimpa fitnah (cubaan) itu !“

Fatwa Lajnah Da’imah Arab Saudi (25/399) yang diketuai Syaikh Abdul Aziz Bin Baz Rahimahullah mengatakan: “Mengharapkan kematian kerana cubaan duniawi seperti sakit, miskin dan sebagainya, hukumnya makruh.”

Fatwa Lajnah Da’imah Arab Saudi (2/323) juga mengatakan: “Mengharapkan kematian tidak diperbolehkan, kecuali jika takut dengan fitnah (cubaan) dalam agamanya.”

Boleh juga mengharapkan mati syahid, sebagaimana sabdanya:

مَنْ سَأَلَ اللهَ الشَّهَادَةَ بِصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللهُ مَنَازِلَ الشُّهَدَاءِ، وَإِنْ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa memohon kepada Allah mati syahid, maka Ia akan menyampaikannya ke darjat para syuhada’ walaupun ia mati di atas katilnya.”

Riwayat Muslim, no. 1909, dan Abu Daud no. 1520

Ini semata-mata ingin meninggikan syiar Islam dan kalimahnya.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

(Surah al-Baqarah: 155)

Ayat ini menunjukkan ujian merupakan kepastian di bumi ini kerana ia menjadi sifat dunia ini sendiri yang penuh dengan mehnah, tribulasi dan cubaan dalam ranjau kehidupan ini.

Sesungguhnya perbuatan membinasakan diri sendiri seperti membunuh diri atau mencederakannya adalah haram dan tidak dibenarkan sama sekali dalam syariah Islam. Walaupun sebesar mana mehnah dan tribulasi yang dihadapi maka sewajarnya umat Islam menghadapi dengan kesabaran dan juga solat serta amalan-amalan yang lain yang dianjurkan oleh Islam.

Firman Allah SWT:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ

Maksudnya: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.

(Surah al-Baqarah: 45)

Antara perkara penting dalam kehidupan ini ialah semangat juang dan sama sekali tiada dalam kamus kehidupannya sifat putus asa. Inilah pesanan Tuhan kepada hamba-hamba-Nya.

Firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Zumar: 53)

Kami nyatakan di sini sepeti berikut:

Rasulullah SAW yang memandu kehidupan manusia, mengajar kepada kita supaya sentiasa munajat, berdoa dan memohon kepada yang Maha Esa ketika senang atau susah supaya bantuan Allah sentiasa bersama kita.

Rasulullah SAW menyebut supaya kita bermohon daripada segala bala yang boleh memudaratkan kehidupan kita. Ini menandakan ranjau-ranjau kehidupan dan duri-durinya amat berbisa yang boleh menikam seterusnya memusnahkan sesebuah kehidupan. Ketika itu yang bertapak dalam hidup kita lebih kepada penderitaan, kesengsaraan dan juga sebagai manusia yang benar-benar tidak membawa sebarang erti kepada dirinya sendiri, apatah lagi kepada masyarakat dan umat amnya.

Dengan sentiasa berdoa yang menjadi senjata ampuh bagi orang yang beriman sudah pasti boleh merasai betapa hampirnya pertolongan Allah untuk hamba-hamba-Nya yang soleh, apatah lagi ketika munajat tersebut dipohon kepadanya di keheningan malam dan juga fajar hampir menyinsing kerana Allah SWT amat memakbulkan doa hamba-Nya yang menadah tangan bermunajat kepada-Nya saat mata-mata manusia sedang diulit mimpi tetapi dengan penuh pengharapan dia bangkit meninggalkan keseronokan tidur semata-mata takut dan harap kepada Ilahi. Justeru amat wajar kita melazimi doa seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW.

Di samping itu, mempelajari ilmu, mendapatkan nasihat daripada mereka yang berkeahlian untuk penyelesaian kemelut yang berlaku di samping sentiasa munajat kepada Ilahi. Inilah jalan penyelesaian yang terbaik. Ingatlah seperti kata Pak Hamka: “Hidup hanya sekali, justeru biarlah beerti.”
Benarlah kata Mufakkir Islami Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Jaddid Hayataka: “Kerumitan serta masalah dan penyakit manusia tidak mungkin ditanggung kecuali orang yang mampu menyelesaikan masalahnya dan mengubati penyakitnya sendiri dengan kebenaran agama.”
Kami titipkan di sini dua doa untuk kita hayati dan amalkannya agar selamat dalam menghadapi tribulasi kehidupan.

Daripada Abu Hurairah RA, katanya Nabi SAW bersabda:

تَعَوَّذُوْا بِاللهِ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ، وَدَرْكِ الشَّقَاءِ، وَسُوْءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Berlindunglah kamu dengan Allah daripada bala yang sukar, kejahatan yang melampau, qadak yang jahat dan cacian musuh.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Sahih (11/5221) no. (6616) dan Muslim dalam al-Sahih (4/ 2080) no. (2702)

Adapun doanya ialah:

اللَّهُمَّ اِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ، وَدَرْكِ الشَّقَاءِ، وَسُوْءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada bala yang sukar, kejahatan yang melampau, qadak yang jahat dan cacian musuh.

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW menyebut dalam doanya:
اللَّهُمَّ اِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالبُخْلِ وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ.

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu dari rasa penakut dan kikir, dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan.”

Riwayat Ahmad dalam Al-Musnad (3/113), al-Bukhari dalam Sahih (2823), Muslim dalam Sahih (2706), Abu Daud dalam al-Sunan (2/189), dan al-Nasaie (4/649).

Semoga Bayan Linnas pada kali akan menjadi semangat dan pemangkin kepada kita untuk meneruskan kehidupan serta melakarkan kejayaan sehingga menyumbang ke arah kebaikan kepada diri kita, keluarga, tanah watan kita dan terutamanya Negara kita. Amiin.

Akhukum Fillah,

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

1 November 2016 bersamaan 1 Safar 1438H.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s