YDP Agong Tonggak Kedaulatan Islam

Oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki
asyraf
PENGUMUMAN pemilihan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 13 Disember baru-baru ini, disambut penuh kesyukuran dan keterujaan rakyat jelata dari pelbagai golongan.

Penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk turut sama menyertai rakyat Malaysia menyampaikan sembah tahniah kepada Baginda Sultan Kelantan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V atas pelantikan ini dan juga Sultan Perak, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang turut diberikan kepercayaan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Penulis juga dengan rendah hati ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah atas pemerintahan yang gemilang sepanjang tempoh menjadi Ketua Utama Negara.

Namun, paling menyedihkan apabila ada suara-suara sumbang yang cuba merobek keutuhan institusi pemerintahan di negara kita. Kedudukan raja-raja Melayu, posisi kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan dan apa sahaja yang berkaitan dengan orang-orang Melayu Islam semakin lantang dipersoalkan.

Dengan mengambil kira senario semasa, sememangnya cakap-cakap sebegitu perlu diteliti dan diperhalusi. Jika dikaji, di sebalik ikrar dan sumpah Yang di-Pertuan Agong itu sendiri sebenarnya mempunyai konotasi penting yang perlu kita hayati.

Secara jelas, mengapa baginda Tuanku mengangkat sumpah dengan menggunakan kata ganti diri “kami” dan bukan “beta” atau “saya”? Ini kerana, Jadual 4 (Perlembagaan Persekutuan) memperuntukkan sedemikian. YDPA bersumpah bukan hanya atas kapasiti individu, tetapi atas kapasiti baginda sebagai pemerintah tertinggi negara yang mewakili keseluruhan tiga komponen iaitu Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman (Legislative, Executive dan Judiciary).

Ini bermakna, sudah tentu sumpah dan ikrar yang dilafazkan oleh YDPA yang harus dibaca bersama Jadual 4 (Perlembagaan Persekutuan) ini, turut mengikat seluruh rakyat dan setiap organ pentadbiran kerajaan, sama ada menteri-menteri dan exco-exco di peringkat negeri, para hakim di mahkamah mahupun ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun.

Dalam lafaz sumpah itu, dengan jelas disebut “Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam”. Maka, setiap gambaran dan perlakuan Baginda yang mengangkat kesucian agama, pada dasarnya, adalah sebahagian daripada lafaz sumpah yang diikrarkan.

Sumpah yang turut dilafazkan dengan nama ALLAH, “Wallahi wabillahi watallahi” untuk memelihara agama Islam pada setiap masa inilah menjadi asas utama kepada kewajipan mendaulatkan agama Islam sebagai agama negara. Justeru, Setiap daripada kita, perlu menyedari dan menghayati serta menunaikan sumpah YDPA ini untuk sentiasa memelihara dan menjaga agama Islam, bahkan terus didaulatkan.

Hakikatnya, kedaulatan Islam bukanlah sekadar laungan slogan semata-mata. Tetapi manifestasi kepada sumpah YDPA sebagai Ketua Tertinggi Negara. Menurut perkara 32 Perlembagaan Persekutuan, sumpah Baginda adalah sumpah negara.

Oleh yang demikian, negara ini terikat untuk melaksanakan maqasid syariah yang pertama iaitu memelihara agama di samping memelihara empat lagi maqasid syariah yang lain iaitu memelihara akal, harta, keturunan dan nyawa.

Justeru, harus ditegaskan komitmen negara untuk mendaulatkan Islam bukan suatu pilihan tetapi merupakan tuntutan yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan.
najib-biru
Perdana Menteri mempunyai peranan untuk memastikan sumpah negara ini disempurnakan dengan dilaksanakan oleh seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyelia Jakim dan agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan.

Dengan ini, mana-mana pihak termasuk organisasi politik, individu mahupun NGO tidak berhak untuk mempertikaikan prinsip kedaulatan Islam ini.

Islam tidak berdaulat jika sekadar agama untuk upacara rasmi. Sebab itu, Perlembagaan bukan sahaja memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan iaitu Agama Negara, Perlembagaan juga menerusi perkara 37(1) mewajibkan YDPA atas kedudukan baginda sebagai Lambang Kuasa Tertinggi Negara untuk berikrar dan bersumpah dengan nama ALLAH untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.

Mengikut Batu Bersurat yang dijumpai di Terengganu, Islam sudah pun didaulatkan di tanah air ini tidak kurang dari 800 tahun yang lalu. Maka janganlah dizalimi sejarah ini apabila agama Islam pula yang hendak dilayan oleh sebahagian yang buta fakta dan sejarah sebagai pengemis dan pengacau.

Moga-moga negara kita terus dirahmati dengan kedamaian dan kesejahteraan di bawah payungan YDPA.

Nota: Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan tulisan ini tersiar dalam Sinar Online, pada 21 Disember 2016.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s