Cabaran dan Pelan Transformasi Dilakukan Tabung Haji

kaabah
MUKADIMAH

BILANGAN pendepositnya kini melebihi 9.1 juta orang dan jumlah dana Simpanan Pendeposit terkumpul pada akhir 31 Disember 2016 berjumlah RM64.8 bilion, Lembaga Tabung Haji adalah sebuah entiti yang benarbenar matang pada usianya 54 tahun.

Selain menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain dalam pengurusan jemaah haji, Tabung Haji memiliki pengalaman dan kepakaran yang diiktiraf oleh dunia, terutama Arab Saudi.

Namun Tabung Haji juga tidak terkecuali daripada cabaran-cabaran semasa dunia seperti kelembapan ekonomi global, penyusutan nilai mata wang dan penurunan harga minyak
mentah.

tabung-haji
Ikuti wawancara wartawan Mingguan Malaysia, Zunaidah Zainon bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah yang dilantik pada 1 Julai tahun lalu.

Sebelum menyertai Tabung Haji, beliau yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Morehead, Kentucky, Amerika Syarikat, adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO BIMB Holdings Berhad sejak Mei 2008.

MINGGUAN MALAYSIA: Apakah keutamaan yang akan digariskan di bawah transformasi Tabung Haji bagi menjamin kepentingan pendeposit?
johan-th
JOHAN ABDULLAH: Tabung Haji akan terus memberi fokus kepada sumber pendapatan yang berulang dan mapan dalam sektor terpilih seperti hartanah, perladangan, konsesi, infrastruktur dan hotel berlandaskan syariah.

Untuk itu, Tabung Haji akan melaksanakan satu pelan transformasi strategik bagi memacu pertumbuhan pendapatan yang mapan dan berdaya saing demi kepentingan para pendeposit dan para jemaah haji.

Kami sedang membuat perancangan transformasi terperinci, berfokus dan menepati sasaran dalam tempoh masa tiga tahun berpandukan kepada tiga prinsip asas iaitu:

– Kekal relevan sebagai pengurus dan perkhidmatan haji terulung dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) di bawah TN50 yang strategik dalam pembangunan ekonomi ummah.

– Mewujudkan nilai ekonomi untuk Tabung Haji dan pihak berkepentingan melalui prestasi cemerlang.

– Mematuhi sepenuhnya hak-hak dan tadbir urus korporat yang baik serta memenuhi aspirasi pihak berkepentingan.

Apakah pelaburan baharu yang akan dilaksanakan Tabung Haji dalam tempoh terdekat dan akan datang?

JOHAN ABDULLAH : Tabung Haji akan memberi penumpuan kepada sektor-sektor seperti hartanah, perladangan, konsesi, infrastruktur dan hotel berlandaskan syariah untuk menjana sumber pendapatan berulang dan mapan bagi tempoh tiga tahun sehingga 2020.

Selaras dengan strategi pelaburan jangka panjang, Tabung Haji juga akan mengurangkan pergantungan terhadap pendapatan ekuiti yang sedia maklum terdedah kepada ketidaktentuan pasaran dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, sebanyak RM2 bilion dana telah diperuntukkan untuk tujuan pelaburan hartanah di luar negara yang mempunyai jangkaan pulangan menarik dan memiliki tahap toleransi risiko yang munasabah.

Difahamkan Tabung Haji mempunyai perancangan untuk melupuskan satu lagi aset di London (bangunan di 10 Queens Street Place) sejak tahun lepas, setakat ini sejauh mana perancangan ini?

JOHAN ABDULLAH: Buat masa sekarang, perancangan ini ditangguhkan dahulu dengan mengambil kira Brexit. Ya, niat dan tujuannya memang baik kerana kita mahu menjana pulangan daripada pelaburan ini.

Sebagai CEO yang berkhidmat sekarang, saya tidak akan sentimental berkaitan sebarang pelaburan yang telah dilakukan. Kalau ia satu pelaburan yang baik, kita boleh menjualnya dan mendapat keuntungan, itu adalah prinsip utama.

Bagaimanapun, kita sentiasa melihat peluang-peluang lain terutama dalam pasaran yang kita selesa. Sebelum ini, kita ada menerima cadangan daripada Amerika Syarikat (AS) sebelum Donald Trump dilantik sebagai Presiden AS yang baharu. Namun, cadangan ini ditangguhkan dulu sehingga keadaan kembali stabil.

Dalam masa sama, kita juga menerima beberapa cadangan daripada Jepun. Tetapi seperti yang saya tegaskan, kita tetap berhati-hati dengan setiap pasaran yang ingin kita terokai.

Selain itu, kita juga akan terus menambah aset di United Kingdom (UK) dan Australia apabila mata wang kembali stabil. Di UK misalnya, Tabung Haji masih memilih aset pelaburan dalam hartanah komersial dengan penyewaan sedia ada bagi menjamin pulangan yang konsisten.

Di Australia pula, kita akan membangunkan tiga lagi projek baharu melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion.

Bagaimana Tabung Haji menangani kesan kelemahan mata wang terhadap aset dan pelaburan yang dibuat di luar negara?

JOHAN ABDULLAH: Setakat 31 Disember 2016, pelaburan luar negara Tabung Haji berjumlah RM5.7 bilion iaitu mewakili 8.9 peratus daripada jumlah keseluruhan aset Tabung Haji.

Pelaburan luar negara Tabung Haji terdiri daripada pelaburan dalam bidang hartanah, ekuiti tercatat asing dan ekuiti persendirian.

Secara amnya, kelemahan ringgit memberi kesan positif dan juga negatif terhadap aset dan pelaburan Tabung Haji bergantung kepada tahap pelaburan dan juga mekanisme pelaburan tersebut.

Untuk aset dan pelaburan luar negara sedia ada dan menjana pendapatan, kelemahan ringgit memberi kesan positif di mana kadar mata wang asing yang lebih tinggi menyebabkan kenaikan nilai aset dan pendapatan jika dinilai dalam ringgit contohnya pelaburan hartanah di Australia yang menjana pendapatan sewa dalam dolar Australia.

Secara konservatif berdasarkan andaian tiada kenaikan dalam kadar sewa dan nilai hartanah tersebut dalam mata wang dolar Australia, nilai hartanah dan pendapatan sewa tersebut jika dinilai dalam ringgit akan mencatatkan kenaikan nilai sebanyak lima peratus selepas mengambil kira kenaikan mata wang dolar Australia dengan kadar purata RM2.93 pada 2015 berbanding RM3.08 pada tahun lalu.

Bagi pelaburan ekuiti tercatat asing yang menggunakan dolar AS sebagai mata wang asas dan kemudiannya dilaburkan ke dalam saham tercatat asing dalam mata wang tempatan di mana saham tersebut disenaraikan, kelemahan ringgit memberi kesan yang berbeza terhadap nilai pelaburan TH.

Sebagai contoh, bagi pelaburan saham tercatat di Thailand dalam mata wang baht, nilai pelaburan tersebut akan mencatatkan kerugian pertukaran mata wang asing sebanyak 2.9 peratus berikutan kejatuhan nilai baht berbanding dolar AS pada 2016.

Walau bagaimanapun, setelah mengambil kira kenaikan kadar purata dolar AS berbanding ringgit yang meningkat sebanyak enam peratus pada 2016, secara bersihnya nilai pelaburan saham tercatat di Thailand tersebut akan mencatat keuntungan pertukaran mata wang asing sebanyak 3.1 peratus jika dinilai dalam ringgit.
TabungHaji
Bagaimana pula dengan pelaburan baharu?

JOHAN ABDULLAH: Untuk pelaburan baharu di luar negara, kelemahan ringgit memberi kesan yang negatif disebabkan kenaikan kos pelaburan. Contohnya untuk membeli aset yang bernilai AUD$100 juta kos pelaburan tersebut akan meningkat daripada RM293 juta pada 2015 berbanding RM308 juta pada tahun lalu.

Berdasarkan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) yang berpendapat bahawa kelemahan nilai ringgit adalah untuk sementara waktu di mana ringgit dijangka pulih pada masa hadapan.

Dan dengan andaian tersebut, pelaburan luar negara yang dibuat ketika nilai ringgit lemah berkemungkinan mengalami kerugian pertukaran mata wang asing jika nilai ringgit kembali pulih pada masa hadapan.

Selain itu, untuk mengurangkan kadar pengaliran keluar mata wang bagi menyokong nilai ringgit, pihak kerajaan telah menyarankan GLIC untuk melabur dalam pasaran tempatan.

Bagi menyambut saranan tersebut, Kementerian Kewangan dan BNM telah menetapkan bahawa setiap pelaburan baharu di luar negara perlu mendapat kelulusan mereka. Kekangan ini menyebabkan kesukaran kepada Tabung Haji untuk membawa keluar modal untuk membiayai kos pelaburan baharu di luar negara.

Apakah langkah dan strategi yang dilaksanakan Tabung Haji untuk berdepan situasi 2017 yang dijangka terus mencabar?

JOHAN ABDULLAH: Tabung Haji menjalankan pelaburannya selaras dengan dasar Penempatan Aset Strategik merangkumi ekuiti, pendapatan tetap, hartanah dan pasaran tunai.

Sebagai pengurus dana yang memberi penekanan kepada pelaburan jangka panjang, Tabung Haji mengambil pendekatan kepelbagaian portfolio pelaburan dengan menyasarkan peluang pelaburan yang boleh menjana pendapatan berulang secara mapan dan mempunyai daya ketahanan risiko.

Pada tahun ini juga, keadaan ekonomi dunia dijangka mengalami pertumbuhan yang tidak menentu dan isu-isu seperti penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS, ketidaktentuan harga komoditi seperti minyak mentah dan minyak kelapa sawit, pelaksanaan dasar-dasar polisi AS yang belum jelas, perkembangan geopolitik di Eropah dan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS dijangka bakal memberi kesan yang negatif kepada pasaran modal dan kewangan.

Ini semestinya merupakan situasi yang sangat mencabar bagi pengurus-pengurus dana global dan domestik termasuk Tabung Haji.

Adakah Datuk Seri yakin Tabung Haji akan mencatat pulangan lebih baik tahun ini?

JOHAN ABDULLAH: Sebenarnya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian tetapi berdasarkan kepada akhir Januari 2017, ia mencatat prestasi lebih baik berbanding Januari tahun lalu. Cuma sama ada kita boleh mengekalkannya ataupun tidak, bergantung kepada keadaan dan pelbagai faktor semasa.

Secara keseluruhan, bagaimana Datuk Seri melihat cabaran yang dilalui Tabung Haji sepanjang 2016?

JOHAN ABDULLAH: Sebagaimana yang kita sedia maklum, cabaran utama yang dihadapi oleh semua syarikat pelaburan di Malaysia pada 2016 adalah berhadapan dengan situasi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik sama ada di dalam mahupun luar negara.

Kemerosotan ekonomi dunia dan kejatuhan pasaran minyak global sejak 2014 menyebabkan kejatuhan hampir kesemua pasaran ekuiti global termasuk indeks FBMKLCI.

Ini menyaksikan FBMKLCI menyusut tiga peratus manakala purata dividen daripada syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia hanyalah sekitar tiga peratus pada 2016. Penyusutan ini juga secara tidak langsung telah menjejaskan pendapatan daripada pelaburan Tabung Haji dalam ekuiti.

Penurunan pendapatan daripada pasaran saham turut dirasai oleh sebahagian besar pengurus-pengurus dana yang lain. Prestasi sebegini bukan sahaja dihadapi oleh Tabung Haji sahaja.

Malah rata-rata syarikat korporat terkesan daripada situasi ketidaktentuan ekonomi, geopolitik, penguncupan nilai ringgit, penyusutan dalam indeks komposit dan kenaikan kos operasi sepanjang 2016.

Walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi, Tabung Haji masih mampu mencatat pendapatan kasar sebanyak RM3.42 bilion dan keuntungan bersih selepas zakat sebanyak RM2.48 bilion bagi tahun kewangan 2016.

Bagaimana kesan terhadap pembayaran hibah?

JOHAN ABDULLAH: Berdasarkan rekod pembayaran bonus atau hibah pendeposit tahun-tahun terdahulu, Tabung Haji telah melaksanakan pembayaran hibah atau bonus yang kompetitif pada jumlah yang hampir bersamaan keuntungan bersih tahun semasa atau penggunaan rizab terkumpul.

Dalam erti kata lain, pendeposit telah diberikan hibah berdasarkan prestasi tahunan semasa yang mana ia jauh lebih tinggi daripada kadar purata simpanan di bank perdagangan untuk sesuatu tahun.

Untuk 2016, kita telah mengkreditkan Hibah Tabung Haji pada 4 Februari lalu yang memberi manfaat kepada keseluruhan 9.1 juta pendeposit manakala Hibah Haji pula diberi kepada lapan juta pendeposit yang belum menunaikan haji.

Hibah Tabung Haji ini adalah kompetitif dengan mengambil kira ciri-ciri deposit dan simpanan seperti berikut:

– Simpanan di Tabung Haji berkonsepkan Al-Wadiah Yad Dhamanah dan dijamin kerajaan.

– Pemberian hibah setelah mengambil kira 2.5 peratus bayaran Zakat Perniagaan Tabung Haji 2016 sebanyak RM60.3 juta.

– Simpanan tiada had maksimum dan pelaburan yang dibuat patuh syariah.

– Pendeposit berkongsi keberkatan kerana antara perbelanjaan utama dan terbesar Tabung Haji adalah berkaitan pengurusan jemaah haji Malaysia dalam menunaikan rukun Islam kelima.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s