Malaysia Jadi Pencetak Al-Quran Kedua Terbesar Dunia


PUTRAJAYA: Kompleks percetakan Al-Quran kedua terbesar dunia Nasyrul Quran di sini yang bernilai RM60 juta memulakan operasi percetakan dan penjilidan secara rasmi hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merasmikannya berkata Nasyrul Quran yang mula dibina tahun lepas bukan untuk bersaing dengan negara pencetak lain tetapi merupakan bentuk sumbangan Malaysia dalam mengembang dan memartabatkan kitab suci umat Islam itu di persada dunia.

“Kita hormati pusat percetakan terbesar di Madinah tetapi sebagai sebuah negara yang berpegang pada prinsip Wasatiyyah, Malaysia juga mahu turut menyumbang cetakan Al-Quran dengan mushaf Malaysia.

“Usaha ini dilakukan bukan untuk riak atau merasa takbur tetapi satu usaha untuk meletakkan Malaysia dalam mercu tanda percetakan Al-Quran sebagaimana yang terdapat di Timur Tengah dan negara-negara lain,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut melancarkan program Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2017 dan operasi percetakan di Nasyrul Quran.

Ahmad Zahid berkata pengoperasian kompleks itu akan menjamin usaha menampung keperluan Al-Quran di peringkat domestik dan dunia kerana populasi umat Islam dijangka mencecah tiga bilion orang daripada sembilan bilion penduduk dunia pada 2050.

Daripada jumlah itu, katanya kemungkinan terdapat sebilangan kecil orang Islam yang tidak mampu membeli Al-Quran dan percetakan Nasyrul Quran boleh memainkan peranan dengan mewakafkan kita suci itu kepada golongan yang memerlukan.

Ahmad Zahid berkata pusat percetakan Nasyrul Quran disasar untuk mencetak sebanyak sejuta naskah Al-Quran dalam setahun di mana 70 peratus adalah untuk kegunaan domestik, manakala selebihnya untuk disumbangkan kepada negara luar yang memerlukan.

“Ini adalah iltizam dan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kebanyakan negara menyumbang kepada pembangunan Islam dengan cara membina masjid dan institusi Islam tetapi tidak semua menggunakan wadah sebagaimana yang dilaksanakan Najib dengan mencetak dan menyebarluaskan Al-Quran secara percuma,” katanya.

Mengenai program wakaf Al-Quran, timbalan perdana menteri berkata program cetusan Najib yang dilaksanakan sejak 2007 itu bertujuan mengumpul dana bagi penerbitan Al-Quran untuk diwakafkan kepada negara-negara minoriti Islam yang dihimpit kemiskinan atau pihak-pihak yang memerlukannya di dalam dan luar negara.

Bagi tujuan itu, beliau turut mengumumkan majlis hari ini menerima sumbangan sebanyak RM2 juta yang disumbangkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan dua pihak lain iaitu sebuah yayasan dan orang perseorangan.

Selain Tengku Adnan, majlis perasmian turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. – Bernama

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s