Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Tidak Benarkan Anak Tidak Sah Taraf Berbinkan Bapa

MESYUARAT Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang berlangsung semalam memutuskan, anak tidak saf taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa biologinya seperti yang diputuskan oleh jumhur ulama.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, sehubungan itu, anak itu hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau nama Allah yang mulia.

“Pada masa sama, mesyuarat bersetuju iaitu asas yang diguna pakai ialah maslahah umum (implikasi zina merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (aib yang mungkin dialami anak zina).

“Hal ini bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam,” katanya dalam kenyataan Bayan Linnas pada laman web Mufti Wilayah, hari ini.

Beliau berkata, pengecualian juga wajar diberikan kepada keluarga yang memeluk Islam dengan perkahwinan diiktiraf undang-undang sivil atau undang-undang adat kerana dikiaskan dengan zaman jahiliyah.

“Justeru, anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat itu dianggap sah taraf juga di dalam Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya menegaskan anak tidak sah taraf bukan hina dan tidak berdosa kerana kesilapan dilakukan kedua orang tuanya.

“Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain jadi, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa paling bertakwa antara kita,” katanya.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya berpendirian, anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah kini layak di sisi undang-undang untuk berbinkan nama bapanya.

Keputusan itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.- Harian Metro

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s